Sunday, May 31, 2020

PENINGGALAN BEKAS ISTERI

Assalamualaikum, 

Salam 8 Syawal 1441H.

Perkongsian ini buat renungan dan pedoman pembaca budiman. Ingatlah apa yang kita lakukan ke atas anak-anak atau ahli keluarga, kelak balasannya jika tidak di dunia pasti di akhirat. 

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Terkesan aku setelah menonton cereka ‘Peninggalan Arwah’, sarat dengan pengajaran dan cerita teladan untuk kita mengambil ibrah. Hakikatnya cerita seperti itu masih berlaku sehingga hari ini. Paparlah pelbagai drama dan lakonan semula mengenai kesan pengabaian anak yatim atau memakan harta anak yatim, semua itu tidak akan memberi kesan jika hati telah hitam dek hasutan syaitan atau hidayah untuk mereka belum Allah hadirkan.

Teringat aku kisah dua hari lepas, tatkala aku di stesen Petronas ingin mengeluarkan wang, jam menunjukkan tepat pukul 6.15 petang. Dalam hujan renyai-renyai yang membasahi bumi. Saat aku memakirkan kereta di tepi kotak pos laju aku terpandang sesusuk tubuh kecil bayi dalam kendongan ayahnya. Usianya dalam setahun lebih barangkali. Dengan mata penuh sayu seolah meraih simpati aku kala melihat wajahnya nan polos itu. Di bibirnya tersembul puting merah yang dinyonyot. Kepalanya ditutupi topi keledar kecil juga warna merah. Manakala si ayah sedang merapikan baju sejuk anaknya untuk mengelakkan hujan. Dibahagian depan mengendong anak, dibelakang tergalas begpack. Manakala bakul motor pula penuh dengan pelbagai barangan. “Baiknya hati ayah kendong anak sekecil ini, emak dia di dalam barangkali beli barang” tebak hatiku. “Nanti nak belikan baby ni sesuatu la, kesian pula tengok dia, hujan-hujan ni mesti lapar” omel hatiku.

Setelah usai mengeluarkan duit dari ATM, aku segera mencari-cari bahan makanan di rak-rak makanan yang ada dalam Petronas, sambil mata menjeling ke luar pintu kaca untuk melihat kelibat baby comel tu. Dengan harapan dia belum beredar lagi. Aku memilih beberapa jenis roti krim gardenia dan roti twister gardenia lalu membuat bayaran. 

Bergegas aku keluar mendapatkan baby comel tadi dengan ayahnya, laju aku menghulukan bungkusan roti yang dibeli kepada si kecil itu sambil bersuara “Anak encik makan roti tak?” takut juga tersalah beri makanan kepada anak orang. Si ayah menjawab “Dia makan semua, terima kasih belikan. Moga murah rezeki.” Aku masih tidak memandang wajah ayahnya yang ditutupi tuala sebahagian mukanya kerana ralit melihat wajah si kecil. “Ini Rafiq (bukan nama sebenar) la Shikin” si ayah menegurku. Aku menoleh ke arahnya. “Ya Allah, kau ke?” Aku membalas dalam keadaan yang sangat terkejut. Kecil sungguh la dunia, kenapa aku tak perasan pun dia tadi. 

 “Baby, ni kawan Auntie Yaya” si ayah memperkenalkan aku kepada anaknya. Bayi kecil bersama ayahnya merupakan kenalanku. Orang yang aku pernah kenal sangat-sangat dan tahu sejarah cerita hidupnya. Anaknya juga pernah aku jumpa sebelum ini, mungkin saja aku tak cam. Aku melanjutkan pertanyaan dan sekadar berbasa-basi. Aku nyatakan hasrat untuk menumpangkan anaknya tetapi tiada carseat dan aku risau membahayakan keadaan si kecil itu. Lantas aku mohon untuk pulang dan mendoakan agar dia selamat sampai ke destinasi bersama bayinya. 

Setelah meloloskan diri dalam kereta, segera aku mendail nombor telefon rakanku merangkap bekas teman hidup Rafiq. “Assalamualaikum beb, kau nak tahu tak aku jumpa siapa? Aku jumpa Rafiq dekat Petronas” laju aku membuka cerita, sambil air mata bergenang di tubir. “Aku tahu apa ko nak cerita beb” Yaya rakanku menjawab seakan dapat menebak cerita selanjutnya. “Tak apa ko cerita aku dengar” sambungnya lagi. “Aku tak sangka aku jumpa dia dalam keadaan macam ni la. Kalau orang aku tak kenal aku tak kisah beb, ni orang yang aku kenal,” aku bercerita sambil airmata mengalir di pipi. “Nak buat macam mana. Takkan aku nak tolong pula, dia dah tak ada kena mengena dengan aku. Lagipun keluarga dia masih ada” Yaya menerangkan. “Apa yang kau tengok tu, itulah yang dia hadap hari-hari. Kau boleh bayangkan tak tiap pagi dia akan bawa anak dia naik motor keluar rumah jam 6 pagi dan balik jam 6 petang, setiap hari. Tak kira hujan ke panas. Rumah dia bukan dekat dengan tempat kerja tu. Dekat 45 minit juga perjalanan. Dia kerja nun jauh di hulu kawasan. Anak dia tu, dia hantar dulu ke pengasuh dekat dengan kawasan tempat kerja dia tu. Tapi yelah budak besar macam tu dah kena keluar jam 6 pagi, ko boleh bayangkan tak? Aku takkan nak tolong dia lagi, dulu aku dah pernah tolong. Sekarang situasi aku dah lain.” Lagi laju airmata aku mengalir mendengar cerita Yaya. 

Aku terkesan dengan situasi tersebut, simpati aku mencurah kepada si kecil yang tak mengerti apa-apa. Si kecil itu merupakan anak Rafiq dengan bekas isterinya yang kedua. Ibu kepada si kecil itu tega meninggalkan anaknya yang baru lahir kepada suami tanpa belaian dan kasih sayang seorang ibu. Sampailah keduanya bercerai, sikitpun si ibu tidak ambil tahu dan ambil peduli. Jadi hiduplah Rafiq bersama anaknya berdua. Rafiq bukan tidak ada keluarga dan adik-beradik, tetapi dia seolah-olah dibuang keluarga kerana kisah silamnya itu. Entahlah kisah selanjutnya aku tak pasti bagaimana. 

Cuma apa yang aku ingin kongsikan. Anak kecil itu tidak mengerti, dia kain putih yang perlu dicorakkan dengan corak yang bewarna-warni dan corak yang cantik, bukan dengan lakaran kanvas hitam yang penuh dengan dendam, amarah dan benci. 

Tidak mustahil dalam keadaan dunia yang kian menghampiri penghujungnya ini. Saat di mana si ibu akan menagih kasih sayang anaknya akan pasti berlaku. Saat ahli keluarga si ayah yang menyisihkannya pasti akan tersedar akan khilafnya. 

Anak, makcik doakan agar awak sentiasa dilindungi Allah dan membesar menjadi seorang anak yang soleh. 


NBJ 
Menulis melalui pengalaman

1 comment:

Acuyuhan said...

SELAMAT HARI RAYA!!! Best entry ini :) done follow, follow me back.. thanks
http://acuyuhan.blogspot.com/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

Saat Kasih Bersemi

Daisypath Anniversary tickers

The Best Place To Purchase Gift!!